Rabu, 11 Februari 2009

CENDERAWASIH BURUNG DI ANGKASA


Cenderawasih dikatakan mempunyai lebih 50 spesies, menjadi kegilaan para peminat burung terutama golongan bangsawan kerana burung berekor panjang itu memiliki keunikan seperti warna kuning keemasan pada bahagian atas sayap, warna coklat pada sayap serta badannya selain warna hijau berkilat di bawah paruh.Selain itu terdapat cerita-cerita dongeng mengenai asal usulnya burung berkenaan yang memiliki dua sesungut atau antena yang panjang di bahagian ekornya.

Kecantikan burung cenderawasih juga menyebabkan namanya diabadikan pada taman-taman perumahan, restoran, jalan, universiti, sekolah, kumpulan penyanyi, setem, klinik dan syarikat perniagaan sama ada di Indonesia mahupun di Malaysia selain menjadi ukiran pada barang-barang kemas.

Orang zaman dulu pula mempercayai burung cenderawasih bukan berasal dari bumi dan selalu berdampingan dengan para wali. Burung itu juga dikatakan membawa tuah kepada pemiliknya dan didakwa sebagai pelaris perniagaan.

Sama ada benar atau tidak dakwaan itu, cenderawasih atau lebih dikenali sebagai bird of paradise di Eropah tetap dicari walaupun sukar untuk mendapatkannya sekarang ini kerana semakin pupus akibat pemburuan liar oleh mereka yang ingin mencari keuntungan.
Bagi penduduk etnik di Papua pula, cenderawasih merupakan lambang kebesaran para dewa. Burung itu sering dijadikan hadiah kepada para pembesar negara dan raja.

Sayap burung liar itu digunakan sebagai perhiasan atau mahkota oleh ketua suku kaum semasa menjalankan upacara adat atau mempersembahkan tarian tradisional ketika menyambut tetamu.

Burung cenderawasih dikatakan memiliki perkembangan yang terbatas kerana dikatakan mampu bertelur hanya sebutir setiap putaran pembiakan atau musim bertelur.

Menurut kajian, makanannya ialah buah-buahan, biji-bijian dan serangga sementara sarangnya berbentuk mangkuk yang dibuat di atas pohon setinggi 10 meter dari permukaan tanah.

Selain cenderawasih yang berwarna kuning keemasan dan coklat, terdapat cenderawasih yang berwarna biru cerah dan biru gelap berkilat di samping jambul yang cantik.
Beberapa spesies burung cenderawasih juga sudah jarang ditemui di Irian Jaya,mungkin kerana pupus akibat menjadi mangsa pemburu liar dan perdagangan gelap.

Pada waktu dulu cenderawasih juga menjadi alat pembayaran oleh suku kaum untuk mendapatkan barang-barang yang dibawa masuk ke Irian Jaya oleh penjajah.
Malah burung itu juga dikatakan menjadi alat sogokan untuk lulus dalam satu-satu ujian.

Sumber daripada: SOPHA SULAIMAN (Jakarta)
Utusan Malaysia, 26 Feb 2006

1 ulasan:

  1. hehehee...sedara tau mengapa orang kata cendrawasih dari kayangan...orng dahulu kata cenderawasih tidak boleh berpijak ditanah kerana akan mati,sebenarnya burung cenderawasih hidup di hutan tanah tinggi,iaitu dikawasan bukit..pada zaman dahulu,dipercayai orng inggeris mengamalkan makan kaki cenderawasih,sudah lupa apa khasiadnya..jadi mereka menangkap burung ini,potong kakinya,kemudian dilepaskan semula,sbab itu tidak ada yang melata di tanah.. :)
    saya ada baca artikel ni di mini zoo di sekitar jitra..sudah lupa namanya..
    tp disana ada burung ini yang dibela..dalam 3 pasang macam tuh..jika saudara bernasib baik..boleh la meminta kepada penjaga kandang utk membeli bulunya..saya dan ayah pernah membeli bulunya sebagai kenangan,3helai 5 hengget rasanya..agak murah berbanding harga di tempat biasa..

    saya simpan satu,ayah satu,kawan beliau satu,apa yang hairan,bulu cenderawasih kepunyaan saya dan kawan ayah hilang begitu sahaja..hehehe..

    BalasPadam